Explore Sun Life Financial Worldwide

Rewarding Retirement

Life Moments

27 August 2020

By Randell Tiongson, RFP​

Kesilapan Besar Seseorang Pesara

Kesilapan Besar Seseorang Pesara

Ketika anda masih muda, anda mempunyai banyak masa lapang dan bercita-cita besar meskipun kekurangan wang pada masa itu. Manakala apabila anda telah bekerja, anda dapat memperoleh wang yang mencukupi tetapi terhambat pula kerana kekurangan masa. Senario inilah menjadi antara sebab utama kenapa masa persaraan sangat dinantikan oleh kebanyakan orang, kerana ia membolehkan kita menikmati kedua-dua masa dan wang yang disimpan secara serentak.

Namun begitu, persaraan bukanlah seindah atau semudah yang dijangka sekiranya terdapat kesilapan menguruskan kewangan. Berikut adalah 10 kesilapan yang sering dilakukan oleh pesara untuk anda ketahui agar tidak melakukan kesilapan yang sama:

Orientasi Jangka Pendek - Kenyataannya, anda mungkin hidup selama 15 hingga 20 tahun lagi selepas bersara atau mungkin lebih lama juga. Oleh itu, anda masih perlu memastikan kewangan anda terus meningkat seperti melaburkannya untuk potensi pulangan simpanan yang lebih tinggi/kukuh dalam dana ekuiti atau pelan insurans persaraan. Walaupun anda dinasihatkan agar mengurangkan peratusan portfolio anda dalam pelaburan berasaskan-risiko, ia tidak perlu diketepikan sama sekali.

Terlupa Tentang Inflasi - Inflasi tidak bersara seperti anda. Dana persaraan anda masih perlu berkembang agar tidak terjejas oleh inflasi. Anda boleh cuba melabur sedikit dalam dana ekuti semasa anda bersara atau dalam pelan insurans pelaburan.

Segalanya dalam satu tempat - Peraturan pelaburan iaitu kepelbagaian masih terpakai selepas anda bersara. Pastikan anda mengekalkan portfolio sihat yang merangkumi tunai, pelaburan pasaran wang, bon atau dana bon, sebahagian kecil dalam ekuiti atau dana ekuiti, dan asingkan sebahagian untuk jaring keselamatan iaitu insurans.

Berbelanja terlalu banyak, terlalu cepat - Sikap yang biasa dilihat di kalangan pesara adalah keinginan untuk berbelanja besar. Oleh kerana persaraan melambangkan kebebasan, ramai yang mempunyai keinginan untuk berbelanja mewah apabila sudah berhenti kerja. Pastikan anda tidak tergesa-gesa kerana anda masih mempunyai banyak masa dan boleh melakukan setiap satu dengan perancangan yang teratur.

Permudahkan perancangan harta pusaka - Persaraan adalah masa terbaik untuk mempertimbangkan perancangan pusaka dengan lebih mendalam kerana ia melibatkan lebih daripada sekadar wasiat. Dapatkan nasihat profesional mengenai pelbagai cara yang boleh anda lakukan untuk harta pusaka anda.

Tidak bersedia untuk kecemasan perubatan – Umur 60 atau 65 adalah usia yang masih agak muda dan sering kali, keperluan untuk perubatan kurang dianggap serius ketika itu. Sungguhpun semangat anda masih membara, tubuh anda mungkin berada dalam keadaan yang sebaliknya. Oleh itu, anda perlu lebih bersedia untuk menghadapi sebarang penyakit fizikal yang tidak diketahui.

Tidak menyemak semula kewangan dan pelaburan. Semakan secara berkala ke atas kewangan dan pelaburan seharusnya menjadi keutamaan anda sebagai pesara. Walaupun kita tidak perlu terlalu bimbang, namun sikap yang terlalu bebas bukanlah cara yang sepatutnya. Seperti yang disebut tadi, perjalanan hidup anda masih panjang.

Mengambil tindakan berisiko melibatkan wang - Walaupun seseorang pesara disarankan untuk meneruskan pelaburan, tetapi penglibatan dalam pelaburan yang berisiko tinggi atau spekulatif bukanlah idea yang baik.

Terlalu bimbang - Walaupun sikap berhemat amat penting selepas bersara, kebimbangan sering mengganggu fikiran. Selagi anda mengikut logik akal dan telah melakukan yang terbaik sebagai persediaan untuk bersara, anda perlulah bertenang kerana persaraan sememangnya adalah masa untuk berehat dan bebas daripada kebimbangan. Jika anda sentiasa dibayangi kebimbangan dan merasakan bahawa simpanan dan kekayaan anda mungkin tidak mencukupi semasa anda telah bersara, anda mungkin tidak dapat menikmati kehidupan yang anda ingini.

Persaraan adalah waktu untuk anda berehat tetapi fasa kehidupan ini memerlukan perancangan kewangan yang awal. Hubungi penasihat kami untuk memulakan perjalanan anda ke arah persaraan yang lebih selesa.