5 November 2019
By Lisa Ng
Cara kekal selesa dalam penerbangan jarak jauh
Adakah anda bakal menaiki penerbangan jarak jauh? Perjalanan yang lama dalam kapal terbang sememangnya tidak begitu menyeronokkan, tetapi terdapat beberapa cara yang boleh membantu menjadikan pengalaman penerbangan anda lebih selesa.
- Mulakan dengan urutan. Apa kata anda cuba mendapatkan rawatan urut atau menggunakan kerusi urut sebelum penerbangan anda? Walaupun harganya mungkin lebih mahal berbanding biasa, tetapi ia akan banyak membantu menghilangkan keletihan dan sakit sendi setelah anda tergesa-gesa berkemas dan berkejar ke lapangan terbang.
Anda boleh menganggapkan ia sebagai permulaan rasmi percutian anda dengan melancarkan aliran darah anda supaya melegakan kesakitan dan mendapat tidur dengan lena di dalam kabin.
- Detoks dan hidrat. Cuba elakkan atau kurangkan minuman beralkohol, kafein, dan soda 24 hingga 48 jam sebelum dan juga semasa penerbangan. Ia akan membantu anda tidur dengan lebih selesa semasa penerbangan dan gangguan ritma harian anda juga lebih mudah diatasi.
Dalam persediaan untuk penerbangan, jangan lupa untuk membawa uncang teh kegemaran anda yang bebas kafein untuk menenangkan minda anda supaya tidur dengan lebih mudah. Setelah mendarat pula, anda boleh menghidrat dengan air kosong dan air kelapa yang kaya dengan elektrolit dan vitamin selepas melalui pemeriksaan sekuriti.
- Tempah tempat duduk anda lebih awal. Sama ada tempat duduk di tepi laluan atau yang berhampiran dengan bahagian belakang kapal terbang, ia mesti memberikan anda lebih keselesaan untuk penerbangan panjang. Anda boleh memilih tempat duduk yang digemari apabila menempah tiket, ataupun mendaftar masuk 24 jam sebelum waktu penerbangan untuk melihat pilihan tempat duduk yang terkini.
Selain itu, anda juga boleh bertanya di kaunter daftar masuk sama ada terdapat pilihan untuk menaik taraf ke kelas perniagaan dengan sedikit bayaran. Adakala, kos naik taraf ini diberi potongan harga dan ia amat berbaloi.
- Bawa majalah dan buku. Sediakan beberapa aktiviti dengan membawa majalah, buku, atau gajet pintar supaya anda tidak berasa bosan semasa penerbangan jarak jauh. Anda boleh memuat turun filem atau drama kegemaran anda pada malam sebelumnya dan bawa pengecas atau kabel USB ke dalam kabin.
- Beli fon telinga kalis bunyi yang baik. Ia akan menjadikan perjalanan anda lebih selesa tanpa kebisingan dengan kebolehannya untuk menghalang suara tangisan bayi dan perbualan di sekeliling anda dalam kapal terbang yang bingit.
- Selesakan diri.Kekalkan keselesaan dengan memakai pakaian daripada bahan fabrik yang memudahkan pengaliran udara dan kelembapan seperti kapas, sutera atau linen. Anda juga boleh membawa sepasang stoking longgar untuk dipakai dan kot sebagai selimut. Jika perjalanan anda mengambil berbelas jam, anda boleh membawa sehelai seluar longgar serta selipar sarung yang selesa untuk memudahkan urusan ke tandas.
- Pertimbangkan penggunaan ubat. Terdapat sesetengah orang yang menggunakan ubat untuk membantu mereka tidur semasa penerbangan tetapi anda dinasihatkan supaya mendapat pendapat doktor terlebih dahulu. Kalau tidak sesuai, anda boleh mencuba sesuatu yang semula jadi seperti valerian atau melatonin.
- Bawa snek kegemaran. Untuk menyenangkan penerbangan anda, apa kata cuba membawa bekal makanan kegemaran ke dalam pesawat? Snek yang senang dimakan semasa perjalanan seperti bar tenaga, kerepek, biskut, buah-buahan, dan mi cawan versi rendah sodium akan membantu pengalaman penerbangan anda. Jangan lupa untuk menyemak senarai barangan yang boleh dibawa ke atas kapal terbang!
- Regangkan tubuh anda.Elakkan mengalami sakit tengkuk atau belakang dengan melakukan putaran buku lali dan regangan otot serta kaki sekali sekala di tempat duduk. Selain itu, anda boleh menyusuri kabin beberapa kali untuk memastikan aliran darah tidak terjejas dan mengelakkan kaki daripada kebas.
- Dapatkan insurans perjalanan. Walaupun anda telah mengambil langkah berwaspada, percutian anda mungkin dikejutkan oleh penyakit atau kemalangan. Untuk ketenangan hati, insurans perjalanan mampu melindungi anda daripada kos perubatan yang tidak dijangka, dan membantu anda mendapatkan bantuan kecemasan apabila anda berada jauh dari rumah dan tidak memahami bahasa tempatan.
Ketahuilah fakta-fakta dan tip-tip yang berguna daripada kami bagi kehidupan yang lebih cerah. Hubungi kami pada bila-bila masa untuk maklumat lanjut.